Thursday, September 07, 2006

Perbuatan mengetepikan orang kurang upaya dari masyarakat

(Marginalisation of disabled people from society)

Orang kurang upaya di Malaysia masih diketepikan oleh masyarakat. Walaupun kesedaran yang situasi ini masih berlaku tetapi usaha untuk memperbaiki keadaan adalah kurang memuaskan dan lambat diimplementasikan. Ini disebabkan pendekatan yang tidak merujuk kepada punca sebenar masalah yang dihadapi oleh orang kurang upaya.

Kita imbas semula kepada situasi yang sama tetapi berlaku di tahun-tahun 1970an di United Kingdom. Pada masa itu, orang kurang upaya telah bergiat untuk cuba mempengaruhi kerajaan UK supaya menukarkan polisi dan pendekatan yang berdasarkan Model Perubatan Kitidakupayaan atau Medical Model of Disability.

Pemahaman ini adalah berdasarkan orang kurang upaya sebagai punca masalah. Orang kurang upaya perlu menyesuaikan diri mereka dalam masyarakat, dan jikalau mereka tidak dapat berbuat demikian, mereka harus ditempatkan di institusi khas yang dibina untuk mereka atau tinggal di rumah sahaja.

Keadaan di United Kingdom pada tahun 1970an menggambarkan secara dekat apa yang berlaku di Malaysia sekarang, di mana orang kurang upaya bergantung sepenuhnya dengan orang lain iaitu dependent dan juga mengalami diskriminasi. Orang kurang upaya diberikan jenis belas kasihan yang tidak menolong dan secara luaran sahaja, tetapi sebenarnya mereka perlukan pertolongan untuk berdikari dan memajukan diri sendiri. Perbualan dengan orang lain selalunya memfokuskan kepada kecacatan seseorang itu dan negativity dan bukan perkara-perkara yang boleh mendorong mereka untuk mencapai cita-cita.

Orang kurang upaya terpaksa menghadapi sikap yang ""patronizing" daripada orang lain, dan ini boleh dilihat dari masalah persekitaran dan sikap yang banyak halangan dan tidak memberikan peluang sama-rata kepada mereka. Masalah untuk menggunakan sistem pengangkutan awam, untuk melanjutkan pelajaran, perumahan yang tidak boleh capai dan guna adalah di antara isu-isu yang menyekat pergerakan orang kurang upaya untuk memajukan diri.

Pendekata, sikap orang lain terhadap orang kurang upaya adalah punca masalah yang dialami oleh mereka.

Seperti yang dikatakan tadi, Malaysia masih mengamalkan Model Perubatan Ketidakupayaan.
Saya akan menceritakan apa yang berlaku beberapa tahun yang lalu, di mana seorang pelajar yang kurang upaya fizikalnya telah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Beliau telah mencuba sedaya upaya untuk menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan tetapi keadaan alam bina yang banyak halangan serta persekitaran yang tidak membantu telah menghampakannya. Beliau terpaksa mengambil kursus di Fakulti Sains pula tetapi masalah yang sama menyekat kemajuannya. Akhir sekali beliau terpaksa mendapat sijil dari institusi pengajian swasta dalam jurusan Teknologi Maklumat.

Adakah beliau telah gagal atau pihak universiti telah gagal membantu beliau?

Kalau dilihat dari perspektif Model Perubatan Ketidakupayaan, tentu sekali pelajar tersebut adalah punca masalah, di mana beliau tidak dapat sesuaikan dirinya dengan alam sekitar. Tetapi bila dilihat pada keseluruhannya, masalah ketidakbolehcapaian ini adalah tanggungjawab institusi yang mengambil keputusan di peringkat perancangan dan rekabentuk bangunan, atau di peringkat pengurusan pelajar.

Kita perlu menyesuaikan Model Sosial Ketidakupayaan yang menekankan punca masalah iaitu diskriminasi "institutional" wujud di dalam masyarakat itu sendiri. Jadi seperti yang diamalkan di UK, polisi, perancangan awal dan reka bentuk serta pengurusan alam bina dan pengangkutan awam dirombak semula dengan menggunakan Model Sosial Ketidakupayaan yang mengutamakan kebolehcapaian dan alam bina bebas halangan.

Pada kesimpulan, kita perlu menuju kepada arah yang sama untuk membina masyarakat yang lebih berperihatin supaya semua ahli masyarakat, tidak kira siapa, dapat berdikari dan bebas halangan untuk memajukan diri mereka.